Siti Khadijah (SK) telah menyerahkan sumbangan berupa sejumlah wang melalui MERCY Malaysia kepada Tabung Bantuan Palestin bagi meringankan beban ditanggung penduduk negara itu susulan pergolakan yang berlaku. SeluruhSK turut bersimpati dengan nasib masyarakat Palestin yang terjejas akibat konflik di Gaza di samping mengutuk sebarang tindakan keganasan mengancam kemanusiaan.
SK menyasarkan untuk memenuhi keperluan kritikal bagi rakyat Palestin yang terjejas dengan membantu menyediakan akses kepada perubatan, makanan, bekalan air dan mengutamakan kesejahteraan mereka melalui sumbangan yang disalurkan ini.
Ketua Pegawai Komersial Kumpulan Siti Khadijah, Encik Mohammad Muhaimin telah menyerahkan sumbangan SK kepada Pengarah Projek Khas MERCY Malaysia, Encik Badrul Hisham yang bertempat di Ibu Pejabat MERCY Malaysia, di Kuala Lumpur pada 16 November 2023 lalu. Turut hadir adalah Ketua Pemasaran SK, Cik Siti Natrah Amirah serta beberapa kakitangan SK yang terlibat.
Pemilihan MERCY Malaysia sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dipertanggungjawabkan untuk menyalurkan sumbangan kali ini adalah kerana ia merupakan NGO yang berpengalaman dalam aktiviti kesukarelawanan dan perkhidmatan sosial, bukan saja berperanan sebagai organisasi perubatan, malah komited dalam menyalurkan bantuan khususnya di negara-negara yang sedang bergolak.
Dalam pada itu, MERCY Malaysia turut menjemput semua warga SK untuk meningkatkan kesedaran tentang penderitaan rakyat Palestin dan mengumpul dana untuk bantuan kemanusiaan bagi mangsa peperangan di Gaza melalui acara 'Kayuhan Gaza' 10KM.
Oleh itu, mari bersama-sama bersolidariti demi rakyat Palestin dengan menyertai acara Kayuhan Gaza, berkayuh di jalan raya dan menggunakan suara kita demi mencapai matlamat keadilan bagi penduduk Gaza. Acara tersebut akan diadakan seperti berikut:
📅 Tarikh: 26 November 2023 (Ahad)
🏢 Tempat: Dataran Putrajaya
⌚Masa: 7:30 am - 10:30 am
Penyertaan adalah percuma dan basikal tidak disediakan. Sila bawa basikal masing-masing. Untuk keterangan lanjut, sila layari Facebook MERCY Malaysia.
Dikeluarkan oleh,
Jabatan Perkhidmatan Korporat